1Disember 2012 KKBN Pontian Pengurusan KKBN mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433H / 2012M kepada seluruh umat Islam, khususnya kepada Warga KKBN Pontian. Semoga di dalam menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W ini akan dapat menjadi titik tolak kepada Warga KKBN untuk menjadi umat yang lebih mengikuti dan mengamalkan sunah Rasulullah S.A.W.
Sirah Nabi Muhammad S.A.W
Semasa umat manusia dalam kegelapan dan suasana
jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di
Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah
peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul
Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu
baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab.
Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke
ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud
sebelumnya.
Selepas
itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak
suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad.
Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan
Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama
Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda
kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang
juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati
keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing
ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda
telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada
usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul
sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk
membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari
akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan
kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah.
Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh
ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima
tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan
penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu
baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk
baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa
anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka
ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh
bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat
dia dikuburkan.
Sesudah
sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang
semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua
ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu.
Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan
akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad
dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat
sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu.
Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa
saudaranya.
"Bukankah
Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia
mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya
bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia lapan
tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib
menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan
hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh
dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada
para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam
kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas
kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk
menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu
berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang
paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy. Abu Talib
menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia
juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada
suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu
Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian
yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib
tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam
kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya
diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib
tersebut dan dia tidak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut.
Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai.
Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda
mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak
oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi
yang anti Arab.
Baginda
juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala
kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir
dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh
sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia
duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai
dengan gelaran yang diberikan iaitu "Al-Amin".
Selepas
baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya
untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga
yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh
ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda
dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa
hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika
itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila
Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka
berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah
sebagai suami isteri.
Penurunan Wahyu Pertama
Pada
usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat
sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan
sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada
zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya
membaca ayat Quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian
baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum
kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah
yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang
mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki
pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian
berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah
turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara
terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam
secara lebih meluas.
"Maka
sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang
diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang
musyrik."
(Al-Hijr, 15:94.)
Namun
begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh
baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu
Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia
selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan
keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum
Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya.
Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai
bapa saudaraku, andai matahari diletakkan di tangan kiriku dan bulan di
tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan
menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau
aku binasa kerananya"
Baginda
menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan
daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk
beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan
yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan
tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang
berat.
Kewafatan Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah
amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy
kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti.
Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada
tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu
membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk
Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda
dirundung kesedihan.
Pada
tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak
kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai
oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh
baginda.
Penghijrahan Ke Madinah
Tekanan
daripada orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat
selepas pemergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka Rasulullah
mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman
daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah
disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar
kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan
Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk
Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas
s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara
Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum
Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan
Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran
dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian
bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang
melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar
undang-undang Madinah.
Islam
adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek
pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara.
Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan
dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah
Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626
M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan
diakhiri dengan kemenangan.
Pada
tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara
penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan itu,
negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah
berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang
terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda
dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya,
baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000 orang
pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang
terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai
sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu semua
adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang
yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan
kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan
dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."
Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w
Baginda
telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.
Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan
menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia
sepanjang zaman.
Di balik kehidupan insan bernama: "Muhammad"
Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya.
Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
Setiap
kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di
masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya
untuk membantu isterinya di dapur
Sayidatina 'Aisyah menceritakan: "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.
Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pulang kembali sesudah selesai sembahyang."
Pernah
baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu.
Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.Yang mentah pun
tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya,
"Belum ada sarapan ya Khumaira?"(Khumaira adalah panggilan mesra untuk
Sayidatina 'Aisyah yang berarti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."
Rasulullah lantas berkata, "Kalau begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.
Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya."
Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda sebagai kepala keluarga.
Pada
suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang :
"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sehat dan segar"
"Ya
Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami
mendengar seolah-olah sendi bergesekan di tubuh tuan? Kami yakin engkau
sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para
sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti
sehelai kain yang berisi batu kerikil,buat menahan rasa lapar. Batu-batu
kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya
tubuh baginda.
"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"
Lalu
baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa
pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di
hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada
umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar
umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi
tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."
Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.
Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya.
Dan
dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencingi si
Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.
Seolah-olah
anugerah kemuliaan dari ALLAH tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih
dari yang lain, ketika di depan umum mahupun dalam keseorangan.
Ketika
pintu Syurga telah terbuka, seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih
berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah, hingga
pernah baginda terjatuh, lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.
Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah,
"Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"
Jawab baginda dengan lunak,
"Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."
Rasulullah s. a. w. bersabda,
"Sampaikan pesanku walau sepotong ayat"
Ada
10 wasiat Rasulullah kepada puterinya Fathimah binti Rasulillah.
Sepuluh wasiat yang beliau sampaikan merupakan mutiara yang termahal
nilainya bila kemudian dimiliki oleh setiap isteri solehah.
1.
Ya Fathimah, kepada wanita yang membuat tepung untuk suami dan
anak-anaknya, Allah pasti akan menetapkan kebaikan baginya dari setiap
biji gandum, melebur kejelekan, dan meningkatkan darjat wanita itu.
2.
Ya Fathimah, kepada wanita yang berkeringat ketika menumbuk tepung
untuk suami dan anak-anaknya, nescaya Allah menjadikan dirinya dengan
neraka sejauh tujuh tabir pemisah.
3.
Ya Fathimah, tiadalah seorang yang meminyaki rambut anak-anaknya lalu
menyisirnya dan mencuci pakaiannya, melainkan Allah akan menetapkan
pahala baginya seperti pahala memberi makan seribu orang yang kelaparan
dan memberi pakaian seribu orang yang telanjang.
4.
Ya Fathimah, tiadalah wanita yang menahan keperluan jiran tetangganya,
melainkan Allah akan menahannya dari minum telaga kautsar pada hari
kiamat nanti.
5.
Ya Fathimah, yang lebih utama dari seluruh keutamaan di atas adalah
keredhaan suami terhadap isteri. Andaikata suamimu tidak redha kepadamu,
maka aku tidak akan mendoakanmu. Ketahuilah wahai Fathimah, kemarahan
suami adalah kemurkaan Allah.
6.
Ya Fathimah, apabila wanita mengandung, maka malaikat memohonkan
ampunan baginya, dan Allah menetapkan baginya setiap hari seribu
kebaikan serta melebur seribu kejelekan. Ketika wanita merasa sakit akan
melahirkan, Allah menetapkan pahala baginya sama dengan pahala para
pejuang di jalan Allah. Jika dia melahirkan kandungannya, maka bersihlah
dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan dari kandungan ibunya. Bila
meninggal ketika melahirkan, maka dia tidak akan membawa dosa
sedikitpun. Didalam kubur akan mendapat pertamanan indah yang merupakan
bahagian dari taman syurga. Dan Allah memberikan pahala kepadanya sama
dengan pahala seribu orang yang melaksanakan ibadah Haji dan Umrah, dan
seribu malaikat memohonkan ampunan baginya hingga hari kiamat.
7.
Ya Fathimah, tiadalah wanita yang melayani suami selama sehari semalam
dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya
serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang
serba hijau, dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu
kebaikan. Dan Allah memberikan kepadanya pahala seratus kali beribadah
Haji dan Umrah.
8. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang tersenyum di hadapan suami, melainkan Allah memandangnya dengan pandangan penuh kasih.
9.
Ya Fathimah, tiadalah wanita yang membentangkan alas tidur untuk suami
dengan rasa senang hati, melainkan para malaikat yang memanggil dari
langit menyeru wanita itu agar menyaksikan pahala amalnya, dan Allah
mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.
10.
Begitu indah menjadi wanita, dengan kelembutan dan kasihnya dapat
merubah dunia Jadikanlah diri-dirimu menjadi wanita solehah, agar negeri
menjadi indah, kerana dirimu adalah tiang negeri ini.