« »

Carian Lain

Khamis, 22 Disember 2011

Majlis Perpisahan Tuan Hj Omar Bin Hj. Mohd Yusof


22Disember 2011 Bilik Mesyuarat KKBN "KKBN Pontian adalah darah daging saya !" begitulah antara intipati ucapan perpisahan Tuan Hj. Omar Bin Hj. Mohd Yusof yang telah menamatkan kontraknya pada hari ini setelah 30 tahun bertugas di KKBN Pontian. Beliau yang bertugas sebagai Imam Sambilan di KKBN Pontian telah diraikan oleh petugas KKBN Pontian di dalam sebuah majlis yang sederhana pada pukul 12.45 tengahari tadi. Kami di KKBN Pontian mendoakan semoga Tuan Hj. Omar dapat meneruskan budi baktinya kepada masyarakat sepertimana beliau berada di KKB Pontian serta semoga senantiasa berada di dalam Rahmat Allah S.W.T. Insyallah. 

Isnin, 19 Disember 2011

Peperiksaan Akhir Teknikal Sesi 2/2011


19Disember 2011 KKBN Pontian Pelatih KKBN Pontian dan pelatih IKTBN/IKBN seleruh malaysia telah memulakan Peperiksaan Akhir Teknikal Sesi 2/2011 bermula hari ini dan dijadualkan berakhir pada 24 Disember 2011. Peperiksaan ini adalah bertujuan untuk menilai tahap kemahiran dan prestasi setiap pelatih KKBN Pontian yang telah selesai menjalani sesi pembelajaran pada semester ini dan semua soalan bagi peperiksaan ini telah dibina dan didatangkan kusus dari Kementerian Belia Dan Sukan.

Majlis Penghargaan MySkill Johor


18Disember 2011 KKBN Kolej Komuniti Segamat 2 Pegawai KKBN Pontian telah menghadiri Majlis Penghargaan MySkill Johor yang dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Majlis anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India Jabatan Perdana Menteri telah dihadiri oleh pelajar dan ibu bapa yang berketurunan India yang telah berjaya memasuki Kolej Komuniti Segamat 2. Borang Tawaran Kemasukan ke Kolej Komuniti tersebut telah diserahkan oleh Menteri Sumber Manusia sendiri di majlis ini.

Promosi KKBN Pontian


16Disember 2011 Dataran Homestay Kampung Puteri Menangis KKBN Pontian telah menghantar pegawainya untuk mempromosi KKBN Pontian kepada warga Kampung Puteri Menangis sempena Karnival Khidmat Masyarakat Agensi Kerajaan Bersama Komuniti Desa di dalam program Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang. Pelbagai agensi kerajaan lain juga turut terlibat bagi menjayakan karnival ini. Sambutan yang memberangsangkan juga telah diterima oleh pegawai KKBN Pontian sepanjang karnival ini berlangsung. Karnival ini telah bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian.

Selasa, 13 Disember 2011

Peperiksaan Akhir 2/2011 Telah Bermula


13 Disember 2011 Dewan Terbuka KKBN Pontian Peperiksaan Akhir Sesi 2/2011 telah bermula serentak bagi IKTBN/IKBN/KKBN Se-Malaysia untuk Subjek Umum dan Subjek Umum Teknikal pada pukul 8.30 pagi ini.Begitu juga keadaan yang berlaku di KKBN Pontian, peperiksaan ini telah dikendalikan secara kerjasama di antara pengajar Subjek Umum dan Teknikal. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun melalui blog ini.

Selamat Menghadapi Pepriksaan Akhir Sesi 2/2011

Pengurusan KKBN Pontian mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelatih sepanjang menduduki minggu peperiksaan ini.
SEKALUNG DOA KAMI PANJATKAN AGAR ANDA BEROLEH KEJAYAAN
SELAMAT BERJAYA !!!

Jumaat, 9 Disember 2011

Perjumpaan Bulanan (Disember 2011)



9 Disember 2011 Dewan Terbuka KKBN Pontian Pada jam 8.00 pagi telah bermula program Perjumpaan Bulanan bagi Disember 2011. Perjumpaan bulanan pada kali ini telah diatur dan di susun oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar KKBN Pontian. Program ini telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Johor, Lagu Kebangsaan dan Lagu KKBN Pontian. Doa pembuka majlis pula telah diketuai Ustaz Johari Bin Mohd Shah (Pengajar Agama Islam) diikuti taklimat Peperiksaan Akhir Sesi 2/2011 oleh En Samiri Bin Marsahit (Urusetia Latihan). Majlis kemudiannya mendengar amanat dan ucapan dari En Rahmat Bin Hitam,Pengarah KKBN Pontian yang telah menyentuh beberapa perkara penting. "Jangan cuba tunjuk keheroan anda !" itulah peringatan yang diberikan oleh Pengarah KKBN Pontian kepada pelatih agar menjaga tingkah laku, disiplin dan peraturan yang telah ditetapkan terutama larangan penggunaan najis dadah. Majlis kemudiannya diteruskan pula dengan perasmian Studio KKBN Pontian oleh Pengarah KKBN Pontian dengan menandatangani plat perasmian.

Rabu, 7 Disember 2011

Majlis Asyura (10 Muharram 1433 Hijrah)


6 Disember 2011 KKBN Pontian 10 Muharram merupakan antara hari yang penting di dalam kalender Islam. Pelbagai aktiviti dan ibadah digalakkan dalam menyambut dan menghayatinya. KKBN Pontian juga mengambil peluang ini untuk melaksanakan Majlis Asyura dengan mengalakkan puasa kepada pelatih dan petugas pada 9 dan 10 Muharram, zikir dan doa, berbuka puasa dan penyediaan bubur asyura untuk pelatih dan petugas. Antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram adalah:

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Isnin, 5 Disember 2011

Kempen Menanam 26 Juta Pokok


3 Disember 2011 Pusat Kokurikulum Johor Cawangan Pontian, Kem Sungai Tempayan, Pekan Nanas KKBN Pontian telah menghantar 29 orang pelatih dan 2 pegawai untuk memenuhi jemputan dan menyertai Program Penanaman Pokok bersempena Kempen Menanam 26 Juta Pokok dengan tema "Greening The Earth :1Malaysia 1Tree" 2011 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Panasonic dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Program ini bermula 8.00 pagi dan berakhir 1.00 petang ini telah memberikan kesedaran kepada peserta akan kepentingan tumbuhan didalam kitaran kehidupan manusia.

Rabu, 30 November 2011

Ujian Teori, Amali dan Oral Teknologi Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara Domestik

29 - 30 November 2011 KKBN Pontian Para pelatih Jurusan Teknologi Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara Domestik sedang melaksanakan ujian teori, amali dan oral bagi memenuhi syarat lulus SKM. Para pelatih ini akan dinilai kemampuan dan kecekapan mereka dalam memperbaiki alatan penghawa dingin dengan menggunakan peralatan yang disediakan dan kemahiran yang telah diterapkan semasa menjalani sesi pembelajaran.

Kursus Landskap KKBN Pontian


29 November-1 Disember 2011 KKBN Pontian  KKBN Pontian sedang melaksanakan Kursus Landskap KKBN Pontian kepada pelatih dan pegawai yang terpilih. Seramai 20 orang peserta sedang mengikuti kursus yang meliputi aspek teori dan amali ini. Kursus ini bakal memberi pendedahan kepada peserta kaedah dan pengurusan landskap yang berkesan. Kursus ini dikendalikan oleh Pengajar Landskap dari Akademi Binaan Malaysia

Program Paintball KKBN-AADK Pontian


26 November 2011 Pusat Paintball Tanjung Piai Resort KKBN Pontian dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Pontian telah melaksanakan Program Paintball KKBN Pontian dan AADK Daerah Pontian. Seramai 45 orang pelatih dan pegawai KKBN Pontian telah menyertai program ini. Program yang julung kali diadakan ini telah dapat memberikan pendedahan yang baik kepada warga KKBN Pontian terhadap sukan ini. Program ini juga telah dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama di antara KKBN Pontian dan AADK Daerah Pontian yang sekian lama terjalin

Jumaat, 25 November 2011

Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Cemerlang (AUC) Peringkat Parlimen Pontian

25 November 2011 Kompleks Usahawan Hening Cipta, Pontian Seramai 90 orang pelatih dan beberapa orang pegawai KKBN Pontian telah menghadiri Majlis Anugerah Usahawan Cemerlang Parlimen Pontian yang berjaya menarik minat hampir 600 orang ke majlis tersebut. Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari bukan sahaja mengiktiraf pencapaian usahawan malah mengedarkan benih koko secara percuma kepada para hadirin dalam usaha meningkatkan hasil komoditi negara. Pelbagai maklumat dan bantuan dari pihak kerajaan telah diumumkan pada majlis ini bagi memberi peluang kepada penduduk dari Parlimen Pontian untuk menjadi usahawan dan peladang yang berjaya.

Lawatan Ke Tanjung Bin

24 November 2011 Loji Janakuasa Tanjung Bin Beberapa orang pelajar dari Jurusan Teknologi Pendawaian Elektrik 2 Fasa dan beberapa pegawai pengiring telah melaksanakan program Lawatan Kemahiran yang bertujuan mendedahkan kepada para pelatih KKBN Pontian terhadap perjalanan dan pengurusan Loji Janakuasa Tanjung Bin. Para pelatih dan pegawai pengiring telah diberikan peluang untuk mendengar ceramah dan membuat lawatan di sekitar loji janakuasa tersebut.

Isnin, 21 November 2011

Tanah Tumpahnya Darah KU


21 November 2011 Dewan Terbuka KKBN Pontian KKBN Pontian akan mengadakan tayangan khas perlawanan bola sepak di antara skuad Harimau Malaya menentang skuad Garuda pada 8.30 malam ini. Para pelatih KKBN Pontian dijemput beramai-ramai memberikan sokongan terhadap skuad negara dalam mengekalkan kilauan emas di dalam genggaman. MALAYSIA BOLEH !

Ceramah Unifield


20 November 2011 KKBN Pontian KKBN Pontian mengalukan kehadiran Bahagian Promosi Unifield Technology College (dahulu dikenali sebagai Kolej Teknologi Yayasan Alor Gajah) untuk mengadakan Ceramah Pengambilan Pelajar kepada lepasan SPM yang berminat untuk memasuki IPTS.

Kursus Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Siri 1/2011 Sambungan


19-20 November 2011 KKBN Pontian Kursus Pertahanan Awam Siri 1/2011 telah disambung semula setelah hampir 5 minggu tertangguh. Sesi latihan memadam kebakaran dan Ujian Pentauliahan juga telah dilaksanakan dengan jayanya. Kepuasan di wajah pelatih KKBN Pontian yang telah berjaya menamatkan Kursus Pertahanan Awam Siri 1/2011 jelas terpancar di akhir program. KKBN Pontian mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JPA3 yang sudi mengadakan kurusus sebegini di KKBN Pontian dan sekalung tahniah buat para pelatih KKBN Pontian yang berjaya menamatkan kursus ini dengan cemerlang.

Jumaat, 11 November 2011

Program Pemeriksaan Kesihatan Pencegahan Kanser Mulut


14 November 2011 Dewan Terbuka KKBN Pontian  KKBN Pontian dengan kerjasama Pejabat Pergigian Pontian dan Pejabat Kesihatan Daerah Pontian telah melaksanakan Program Pemeriksaan Pergigian (Ceramah dan Pameran Pencegahan Kanser Mulut). Program yang melibatkan petugas dan pelatih KKBN Pontian telah berjaya memberikan pendedahan dan maklumat hasil dari ceramah kesihatan yang telah disampaikan oleh Dr. Neo Yun Zi dan Dr. Noraziyah Bt Abdul Aziz dan pameran kesihatan yang disediakan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan. Pemeriksaan dan saringan kanser mulut juga diberikan kepada petugas dan pelatih KKBN Pontian secara Percuma. Program yang bermula dari 9.00 pagi akan berakhir pada 12.30 tengahari ini.

Program Tahlil KKBN

11 November 2011 Dewan Terbuka KKBN Pontian Kelab Keluarga KKBN Pontian telah menganjurkan tahlil untuk Allahyarham Mohd Faridz Bin Azman pada pukul 11.00 pagi. Program ini telah disertai oleh semua pelatih dan petugas KKBN Pontian. Allahyarham Mohd Faridz merupakan bekas petugas KKBN yang telah meninggal dunia pada 5hb November 2011 kerana kemalangan sewaktu bertugas.

Selasa, 8 November 2011

Al-Fatihah

5 Nov 2011 Pulai Sebatang Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Mohd Faridz Bin Azman (dalam bulatan) di atas kepulangan Allahyarham ke Rahmatullah pada 5 November 2011. Allahyarham Mohd Faridz merupakan seorang bekas petugas KKBN Pontian yang berkhidmat sebagai petugas perkhidmatan di Dewan Makan KKBN Pontian. Beliau yang telah berkhidmat di antara 13 Mac 2009 hingga 31 Mei 2011 telah menghembuskan nafas terakhir setelah mengalami kemalangan sewaktu bertugas. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan pada 4.30 petang di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pulai Sebatang. Sama-samalah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan berdoa agar rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Insyallah.

Selasa, 1 November 2011

Salam Aidiladha

6hb November bakal menjelma begitu juga dengan Hari Raya Aidiladha. Perayaan yang terbit hasil pengorbanan seorang hamba kepada tuhan-Nya. Begitu juga dalam perjalanan seseorang insan dalam menuju kejayaan, pelbagai ranjau duri, dugaan cubaan yang perlu ditempuh. Pelatih KKBN Pontian juga temasuk di dalam golongan ini, maka Pengurusan KKBN Pontian juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pelatih KKBN Pontian dan umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Selasa, 25 Oktober 2011

Jasamu Dikenang

24 Oktober 2011 Bilik Mesyuarat KKBN "KKBN Pontian akan kehilangan sebutir permata" itu yang diucapkan oleh En. Rahmat Bin Hitam, Pengarah KKBN Pontian di Majlis Perpisahan En. Md Nor Azman Bin Mohadi (Pengajar Teknologi Automotif) yang akan bertukar ke JKR Johor Bahru bermula 1 November 2011. Kami warga KKBN Pontian akan merasa kehilangan lantaran perpindahannya setelah 11 tahun bersama di KKBN Pontian. Kami senantiasa mendoakan kejayaan En. Md Nor Azman dalam bidang yang sedang dan akan diceburinya. Semoga persahabatan di antara kita tidak akan terputus di sini sahaja. Selamat Berjaya !!!

Isnin, 24 Oktober 2011

Karnival Kerjaya Perniagaan Usahawan (KEPAK)

20-23 Oktober 2011 Dewan Jubli Intan, Batu Pahat Meriah! itu yang dapat digambarkan suasana KEPAK di Batu Pahat kali ini. Booth KKBN Pontian juga tidak ketinggalan dipenuhi pengunjung yang ingin mandapatkan maklumat mengenai KKBN Pontian. Antara aktiviti yang telah dijalankan di booth KKBN Pontian adalah sesi temuduga pengambilan, demonstrasi  jahitan manik dan jualan pakaian. 

Rabu, 19 Oktober 2011

Road Show KKBN Pontian

KKBN Pontian akan mengadakan pameran dan Temuduga Pemohonan Kemasukkan Sesi 1/2012 sempena Karnival Kerjaya Peniagaan Kemahiran (KEPAK) di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat pada 20-23 Oktober 2011. Para belia lepasan SPM berumur diantara 18-25 tahun yang berminat diminta hadir ke 'booth' KKBN Pontian.

Selasa, 18 Oktober 2011

Projek Pelatih Teknologi Awam

18 Oktober 2011 Pejabat Pentadbiran KKBN Sekumpulan pelatih dari kursus Teknologi Awam telah memulakan projek pengubahsuaian fasiliti KKBN Pontian. Pelatih terbabit telah melakukan pemasangan jubin di bahagian pintu masuk pejabat dan pemasangan pintu di bengkel-bengkel kemahiran. Projek ini juga telah membantu dalam meningkatkan kemahiran kepada pelatih Teknologi Awam dalam menghadapi alam pekerjaan sebenar.

KKBN TITAN VS SEMUT MERAH MDSR


14Oktober 2011 Padang KKBN Pontian Satu latihan bersama tarik tali di antara KKBN Titan dan Semut Merah MDSR (Majlis Daerah Simpang Renggam) telah diadakan. Terima kasih diucapkan kepada Semut Merah MDSR yang telah memberikan peluang dan sudi memberi pendedahan kepada KKBN Titan. Semoga semangat kesukanan ini akan sentiasa berterusan.

Isnin, 10 Oktober 2011

Kursus Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Siri 1/2011

8-9 Oktober 2011 KKBN Pontian Sebuah kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Pontian sedang dilaksanakan dan akan disambung pada 23-24 Oktober 2011. Peserta kursus ini adalah terdiri daripada pelatih KKBN Pontian yang sedang melaksanakan latihan kemahiran di tahap 2 dan 3. Di antara intipati kursus adalah kawad, pertolongan cemas, memadam kebakaran dan pengurusan bencana. Perserta yang berjaya mengikuti dan menamatkan kursus ini akan menerima sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selasa, 4 Oktober 2011

Ujian Kreditasi Teknologi Awam KKBN Pontian

3 Oktober 2011-Bengkel Teknologi Awam Pelatih-Kursus Teknologi Awam tahap 2 KKBN Pontian telah melaksanakan ujian kreditasi mereka. Sungguh membanggakan kerana masih ada dikalangan belia yang berminat untuk mengambil kemahiran berdasarkan pembinaan. Tahniah diucapkan kepada para pelatih yang telah berjaya di dalam ujian kreditasi kali ini.

Isnin, 3 Oktober 2011

Kursus Asas Keusahawanan-Catur Bistari

1&2 Oktober 2011-Empress Hotel Sepang KKBN Pontian telah menghantar seorang wakil ke Kursus Asas Keusahawanan anjuran KBS. Program yang bertujuan memupuk sifat usahawan ini telah berjaya memperkenalkan kepada peserta mengenai Catur Bistari yang telah dihasilkan oleh JCorp. Panduan mengenai penganjuran dan pembinaan kertas kerja juga telah disampaikan di dalam kursus ini. Cabaran Catur Bistari juga telah diadakan antara peserta secara berkumpulan bagi melihat sejauh mana pemahaman peserta mengenai Catur Bistari

Khidmat Masyarakat KKBN Pontian

30hb September 2011-Kukup Laut, Pontian.KKBN Pontian telah menghantar 9 orang pelatih dan 2 orang petugas Kursus Teknologi Awam-Penyeliaan untuk membantu memperbaiki sebuah rumah penduduk kampung Pn. Painah Bte Osman di alamat No.2 Kg. Melayu, Kukup Laut 82300,  Kukup, Pontian yang telah rosak teruk dilanda ribut pada 26hb September 2011. Bermula seawal 8.00 pagi program ini telah mula dijalankan. Terima kasih juga diucapkan kepada penduduk Kampung Kukup Laut telah sama-sama membantu dalam menyempurnakan program ini.

Jumaat, 30 September 2011

Majlis Hari Raya Bersama Timbalan Perdana Menteri Di Benut & Sungai Bunyi, Pontian

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur Majlis Rari Raya Bersama TPM di Benut, Pontian  dan Sungai Bunyi, Pontian yang telah menjemput KKBN Pontian untuk sama-sama merasai kemeriahan yang telah dianjurkan pada 29 September 2011. Terima kasih juga kepada para pelatih yang secara sukarelanya telah menghulurkan tenaga dan memerah keringat bagi sama-sama menjayakan majlis tersebut.

Rabu, 28 September 2011

Majlis Hari Raya KOBENA

Terima kasih diucapkan kepada pihak KOBENA kerana menjemput warga KKBN Pontian bersama-sama memeriahkan Majlis Hari Raya pada 28 September 2011. Tahniah juga diucapkan kepada En.Munawir dan En.Muzamir kerana telah berjaya memenangi pertandingan Karaoke Tertutup KOBENA.

Khamis, 22 September 2011

Kemeriahan Majlis Riang Ria Aidilfitri KKBN Pontian 2011

Tahniah kepada semua petugas dan pelatih KKBN Pontian yang telah berjaya memberikan suasana raya yang hebat kepada KKBN Pontian pada tahun ini. Terima kasih juga kepada keluarga KOBENA dan para jemputan yang sudi hadir dan bersama-sama memeriahkan dan menjayakan majlis ini. Sesungguhnya majils seperti ini telah memberikan suatu impak yang tidak ternilai yang sukar ditafsir dengan wang ringgit.

Rabu, 21 September 2011

Detik Sebelum Majlis Riang Ria Aidilfitri KKBN Pontian 2011

Dalam beberapa jam lagi akan berlangsung Majlis Riang Ria Aidilfitri KKBN Pontian bertempat di Dewan Terbuka KKBN Pontian. Terima kasih kepada mereka yang berkerja keras dalam persediaan majlis ini. Diharap majlis ini akan berlangsung dengan lancar dalam keceriaan

Program Pesona Muslim 1 & 2 2011

Pada 19hb September 2011 telah berlangsung program Citra Ibadah-Pesona Muslim 1&2 di Dewan Tertutup KKBN Pontian dan Surau Asrama Tanjung. Semua pelatih KKBN pontian telah terlibat dalam menjayakan program ini. Beberapa orang penceramah telah dijemput untuk menjayakan program ini antaranya adalah Ustz Norhisham, Ustz Abu Khair dan Ustaz Johari.

Program Derma Darah

Pada 13hb Sept 2011 bertempat di Dewan Terbuka KKBN Pontian telah berlangsung 1 program derma darah oleh warga KKBN Pontian. Terima kasih diucapkan kepada sukarelawan yang telah menyumbangkan darah mereka untuk membantu mereka yang memerlukan

Rabu, 7 September 2011

Program Citra Ibadah- Cintai Al-Quran 1

Program Citra Ibadah-Cintai Solat telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan 1432H.Program yang diisi dengan Tadarus Al-Quran pada pukul 9.00-11.00 mlm setiap hari telah berjaya disempurnakan pada 24 Ogos 2011. Program yang disertai oleh semua warga KKBN Pontian telah menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih meriah.

Khamis, 11 Ogos 2011

Majlis Tahlil, Doa Selamat & Buka Puasa


Majlis Tahlil, Doa Selamat Dan Buak Puasa anjuran Kelab Keluarga KKBN telah selamat diadakan dalam keadaan penuh meriah. Hampir 600 orang telah hadir untuk memeriahkan majlis ini. Pelbagai hidangan telah disediakan temasuklah  menu istimewa bubur lambuk KKBN. Di dalam majlis ini juga para petugas KKBN telah menerima sepotong kain untuk baju raya sumbangan Kelab Keluarga KKBN Pontian. Secara kesimpulan majlis ini telah berjaya mengeratkan perhubungan sesama warga KKBN. Untuk gambaran mengenai majlis yang telah berlangsung sila lihat paparan koleksi gambar disebelah.

Salam Ramadhan

Selamat menyambut Ramadhan 1432H.Semoga di bulan ini kita memperoleh keberkatan dan keampunan dari Allah s.w.t