« »

Carian Lain

Khamis, 30 Ogos 2012

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan detik keramat yang menyaksikan bebasnya negara Malaysia dari belenggu penjajahan selama ratusan tahun. Tanggal ini juga menjadi bukti akan kerjasama dan kemuafakatan bangsa yang telah membibitkan satu suara yang melaungkan kemerdekaan. Pelbagai onak duri ditempuh hanya untuk mendapatkan kebebasan yang perlu dijaga oleh setiap anak bangsa Malaysia agar setiap keringat dan titisan darah pejuang terdahulu tidak hapus dengan sia-sia. 31 Ogos 2012 genap 55 tahun negara ini menongkah arus kemodenan dunia dan semakin matang dalam merialisasikan impian dan harapan menuju status negara maju. Di atas kesedaran inilah pengurusan KKBN Pontian berharap setiap graduan yang dilahirkan akan menjadi pengerak dan pemangkin kemajuan negara sebagai insan yang berkemahiran. Pengurusan KKBN Pontian juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55 kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya kepada semua pegawai dan kakitangan Kementerian Belia Dan Sukan, seluruh warga IKBN SeMalaysia dan tidak lupa kepada Institut dan Pusat Latihan Kemahiran Bertauliah yang telah menjadi akses penting di dalam melahirkan belia Malaysia yang berkemahiran. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Selasa, 14 Ogos 2012

Keputusan Pilihanraya MPP Sesi 2/2012












14Ogos 2012 Dewan Terbuka KKBN Pontian Seramai 434 orang pelatih meliputi 94.3% pelatih yang mendftar telah hadir untuk melaksanakan tanggungjawab dalam memilih tonggak utama MPP KKBN Pontian. Proses pengundian terlah bermula pada jam 8.45 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi. Keadaan yang tenang dan tanpa masalah dapat dilihat sepanjang proses pengundian yang berlangsung. Seketariat Piliharaya (SPR) KKBN Pontian telah menutup pusat mengundi dan telah melaksanakan proses pengiraan undi di Bilik Mesyuarat KKBN Pontian tepat jam 12.00 tengahari dengan kerosakan pada kertas undi sebanyak 4.8% . Pengiraan undi telah disaksikan oleh Pegawai Penasihat MPP dan calon-calon yang bertanding dan setakat ini tiada bantahan direkodkan oleh calon bertanding. Berikut adalah keputusan rasmi bagi Pilihanraya MPP KKBN Pontian:
  • Kerusi Yang Dipertua MPP = Muhammad Ariff Bin Abdul, 151 undi
  • Kerusi Yang Dipertua MPP 1 = Muhammad Syahedika, 192 undi
  • Kerusi Yang Dipertua MPP2 = Siti Zulaiha Binti Zulkifli, 148 undi
Pihak SPR KKBN Pontian mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya di dalam pilihanraya kali ini dan ucapan ribuan terima kasih dan tidak terhingga kapada Ketua Jabatan, Petugas dan pelatih KKBN Pontian yang memberikan sokongan dan kerjasama di dalam melaksanakan Pilihanraya MPP KKBN Pontian.

Pengenalan Calon Dan Penyampaian Manifesto







13Ogos 2012 Dewan Terbuka KKBN Pontian Hari ini wajah-wajah semua calon yang akan bertanding untuk kerusi Yang Dipertua,  Timbalan Yang Dipertua 1 dan Timbalan Yang Dipertua 2 di dalam Pilihanraya MPP KKBN Pontian kali ini dapat dilihat sewaktu sesi pengenalan calon dan penyampaian manifesto. Kesemua calon YDP telah menyampaikan manifesto masing-masing yang meliputi aspek keselamatan, kebajikan dan disiplin pelatih yang bertujuan untuk memancing undi dan memperolehi sokongan. Tujuan sesi ini adalah asas kepada pilihanraya umum yang diterapkan di dalam Pilihanraya MPP KKBN Pontian supaya ia akan memberikan pendedahan kepada majoriti pelatih KKBN Pontian yang bakal mengundi di pilihanraya umum buat kali pertama.

Jelajah Masjid:Masjid Jamek Parit Arif, Benut




10Ogos 2012 Masjid Jamek Pt. Arif, Benut Program Jelajah Masjid telah sampai ke destinasi terakhirnya di Masjid Jamek Parit Arif, Benut. Rombongan diketuai oleh En Abd Razak Bin Hashim, Ketua Jabatan Teknologi Pendawaian Elektrik bersama 40 pelatih tiba pada jam 6.40 petang dengan menggunakan bas sewa khas. Sampai sahaja di lokasi, pelatih berpeluang merasai susana "rewang" di dapur masjid dengan bergotong royong membasuh pinggan dan menyediakan makanan. Rombongan Jelajah Masjid kemudiannya mengikuti tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa. Selesai solat Maghrib, Isya' dan Tarawih, pelatih dan petugas telah sama-sama mengikuti khatam Al-Quran dan seterusnya makan malam. Suasana yang meriah diikuti program tambahan di dalam aturcara masjid telah memberikan kelainan buat lokasi pilihan yang menjadi penutup Program Jelajah Masjid kali ini. Semoga Allah S.W.T memberikan keberkatan bagi setiap langkah kita di dalam melakukan kebaikan. Insyallah.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Bahang Pilihanraya Semakin Terasa !!!




10Ogos 2012 KKBN Pontian Tujuannya adalah untuk mencari perintis pemimpin masa hadapan dan juga memberi peluang dan pendedahan kepada pelatih melibatkan diri di dalam proses pilihanraya. Seketariat Pilihanraya KKBN Pontian (SPR KKBN) telah memulakan langkah untuk melaksanakan pilihanraya bagi memilih tunjang kepimpinan MPP KKBN Pontian Sesi 2/2012. Pilihanraya yang ditetapkan adalah pada 14 Ogos 2012 dan dipenuhi dengan Proses Percalonan, Kempen, Pengenalan Calon, Pembentangan Manifesto dan Pengundian mirip dengan konsep Pilihanraya Umum di Malaysia. Calon-calon adalah terdiri dari pelbagai jurusan latihan dengan menawarkan pelbagai janji untuk memastikan suasana yang baik di dalam KKBN Pontian. Pemilihan secara demokrasi seperti ini akan dapat memberikan anjakan kepada perjalanan MPP KKBN Pontian pada masa hadapan. Diharap kepada pelatih KKBN Pontian dapat memilih dan mengundi calon yang layak dengan harapan pelbagai perubahan yang baik akan berlaku.

Majlis Khatam Al-Quran & Berbuka Puasa 2012




09Ogos 2012 Dewan Terbuka KKBN Pontian Warga KKBN Pontian mula memenuhi ruang Surau Sementara Dewan Terbuka KKBN Pontian untuk sama-sama meraikan Majlis Khatam Al-Quran untuk tahun ini. Majlis juga dihadiri oleh Warga KOBENA yang saban tahun hadir dalam mengimarahkan sambutan Ramadhan yang penuh keberkatan. Majlis yang dianjurkan oleh KKBN Pontian dan Kelab Keluarga KKBN Pontian juga megadakan Majlis Berbuka Puasa usai Majlis Khatam Al-Quran dan penyerahan cenderahati kepada pelatih yang terlibat. Majlis diteruskan dengan solat Maghrib dan hadirin dijamu juadah yang disediakan oleh pihak dewan makan. Solat Isya dan Tarwih pula didirikan oleh hadirin yang di Imamkan oleh Pengerusi KKBN Pontian, Dato' Dr Jamaluddin Bin Abdul Hamid dan Imam jemputan iaitu Tuan Haji Omar yang merupakan bekas petugas KKBN Pontian. Selepas 10 rakaat Tarawih dan 3 rakaat Witir, hadirin diajak untuk moreh. Petugas KKBN Pontian seterusnya mendengar ucapan oleh Pengerusi KKBN Pontian dan Pengerusi Eksekutif KOBENA dan semua petugas telah menerima sumbangan Hari Raya. Semoga keakraban yang dirasai sepanjang majlis akan terus dirasai di KKBN Pontian setiap masa.

Jelajah Masjid:Masjid Jamek Bagan Laut, Rengit





08Ogos 2012 Masjid Jamek Bagan Laut KKBN Pontian menerusi Program Jelajah Masjid hadir di Masjid Jamek Bagan Laut, Rengit untuk memenuhi agenda program ini yang masuk masjid keenam dilawati. Suasana yang meriah dirasai tatkala menjejakkan kaki di masjid ini. Keadaan semakin ceria terasa apabila tiba waktu berbuka dengan kehadiran jemaah yang ramai menjadikan rombongan kami seperti berada di tempat sendiri. Satu keistimewaan lokasi kali ini adalah, Solat Tarawih diimamkan oleh seorang pelajar dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Irshadiah, Punggor yang baru berusia 19 tahun. Program Jelajah Masjid kali ini akan melabuhkan tirainya di Masjid Parit Arif, Benut pada 10 Ogos 2012 dengan penuh pengalaman yang indah.

Rabu, 8 Ogos 2012

Jelajah Masjid:Masjid Jamek Kiyai Hj. Abdul Jabbar




06Ogos 2012 Masjid Jamek Kiyai Hj. Abdul Jabber, Kg. Parit Raja Senyuman yang terukir diwajah setiap Jawatankuasa Masjid Jamek Kiyai Hj. Abdul Jabbar telah memberikan petanda yang jelas keikhlasan di dalam menerima rombongan Jelajah Masjid kali ini. Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, satu lagi suasana yang berbeza dapat dirasakan di masjid ini dari awal hingglah rombongan Jelajah Masjid bergerak meninggalkan lokasi. Aktiviti kali ini dimulai dengan tazkirah mengenai Sifat Takwa oleh penceramah jemputan dan seterusnya berbuka puasa. Sesudah solat Maghrib ahli rombongan dijamu dengan hidangan yang enak yang disediakan oleh Jawatankuasa Masjid dan usai beramah mesra bersama ahli jemaah masjid, solat Isya' dan Tarawih pun berlangsung. Perasaan sebak dan bergetar di hati sewaktu setiap Al-Fatihah yang dibacakan diaminkan dengan penuh semangat umpama diri berada disebuah masjid yang besar dan dipenuhi jemaah. Selesai solat, satu lagi kelainan yang tidak terdapat di masjid yang lain apabila rombongan Jelajah Masjid diperdengarkan zikir yang diamalkan di masjid ini sejak bergenerasi yang lalu. Zikir yang penuh dengan doa dan pengharapan kepada Allah, dilafazkan dengan begitu lantang oleh setiap jemaah masjid yang hadir. Alhamdullilah, matlamat Jelajah Masjid kali ini telah tercapai meski pun masih terdapat 2 masjid lagi yang akan dijelajahi dengan memberikan pendedahan yang terbaik kepada pelatih dan petugas yang mengikuti program ini.

Isnin, 6 Ogos 2012

Jelajah Masjid:Masjid Jamek Al-Falah, Simpang Renggam




04Ogos 2012 Masjid Jamek Al-Falah, Simpang Renggam Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Falah, Simpang Renggam kerana telah menerima kehadiran rombongan Program Jelajah Masjid yang disertai oleh petugas dan pelatih KKBN Pontian. Lokasi keempat Jelajah Masjid ini merupakan masjid yang terletak paling jauh dari KKBN Pontian di dalam kembara Jelajah Masjid 2012 ini. Sesungguhnya setiap pelatih di KKBN Pontian tertunggu-tunggu giliran masing-masing untuk menyertai Program Jelajah Masjid yang kaya dengan suasana ceria dan muhibah yang terpancar disetiap masjid yang dilawati. Semoga program ini akan mewujudkan kenangan yang indah buat pelatih dna petugas-petugas yang menyertainya. Insyallah.

Khamis, 2 Ogos 2012

Jelajah Masjid:Masjid Jamek Pekan Nanas


01Ogos 2012 Masjid Jamek Pekan Nanas Program Jelajah Masjid hari ini membawa petugas dan pelatih KKBN Pontian ke Masjid Jamek Pekan Nanas. Masjid yang ketiga dilawati sepanjang Ramadhan Al-Mubarak ini sebagai platform untuk petugas dan pelatih KKBN Pontian memperbanyakan amalan di samping menghayati sambutan Ramadhan di masjid-masjid terpilih untuk tahun ini. Kehadiran rombongan Jelajah Masjid telah disambut oleh Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Nanas dan yang menarik pada kali ini adalah Jelajah Masjid juga telah diserikan oleh kehadiran Pegawai-Pegawai BSN Cawangan Pontian yang turut sama berbuka dan bertarawih. Majlis diteruskan dengan tazkirah mengenai ibadah puasa oleh penceramah jemputan dan berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib. Usai menyempurnakan solat Maghrib, rombongan Jelajah Masjid disajikan dengan juadah yang enak dan selepas menjamu selera Rombongan Jelajah Masjid menunaikan solat Isya' dan Tarawih. Di Masjid Jamek Pekan Nanas bacaan surah di dalam solat Tarawih adalah ayat-ayat dari Al-Quran dan bukan Surah-Surah lazim. Untuk malam ini ayat-ayat yang dibaca adalah dari Surah Al-Anfal, Ayat 17-30. Jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Nanas kepada rombongan Jelajah Masjid KKBN Pontian.

Rabu, 1 Ogos 2012

Jelajah MAsjid:Masjid Jamek Al-Muhajirin, Felda Bukit Batu




31 Julai 2012 Masjid Al-Muhajirin, Felda Bukit Batu KKBN Pontian menjelajah lagi ke masjid dan yang terpilih kali ini untuk diimarahkan adalah Masjid Jamek Al-Muhajirin, Felda Bukit Batu. 44 orang pelatih dan 6 orang petugas telah menyertai jelajah kali ini. Petugas dan pelatih telah berbuka puasa dan telah meneruskannya sehingga solat tarawih bersama penduduk setempat. Petugas dan pelajar KKBN Pontian yang mengikuti program ini telah dijamu dengan juadah yang disediakan oleh Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Muhajirin, Felda Bukit Batu. Sekalung penghargaan kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Muhajirin dan penduduk kerana sudi menerima rombongan petugas dan pelatih KKBN Pontian di dalam Program Jelajah Masjid ini.