06Ogos 2012 Masjid Jamek Kiyai Hj. Abdul Jabber, Kg. Parit Raja Senyuman yang terukir diwajah setiap Jawatankuasa Masjid Jamek Kiyai Hj. Abdul Jabbar telah memberikan petanda yang jelas keikhlasan di dalam menerima rombongan Jelajah Masjid kali ini. Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, satu lagi suasana yang berbeza dapat dirasakan di masjid ini dari awal hingglah rombongan Jelajah Masjid bergerak meninggalkan lokasi. Aktiviti kali ini dimulai dengan tazkirah mengenai Sifat Takwa oleh penceramah jemputan dan seterusnya berbuka puasa. Sesudah solat Maghrib ahli rombongan dijamu dengan hidangan yang enak yang disediakan oleh Jawatankuasa Masjid dan usai beramah mesra bersama ahli jemaah masjid, solat Isya' dan Tarawih pun berlangsung. Perasaan sebak dan bergetar di hati sewaktu setiap Al-Fatihah yang dibacakan diaminkan dengan penuh semangat umpama diri berada disebuah masjid yang besar dan dipenuhi jemaah. Selesai solat, satu lagi kelainan yang tidak terdapat di masjid yang lain apabila rombongan Jelajah Masjid diperdengarkan zikir yang diamalkan di masjid ini sejak bergenerasi yang lalu. Zikir yang penuh dengan doa dan pengharapan kepada Allah, dilafazkan dengan begitu lantang oleh setiap jemaah masjid yang hadir. Alhamdullilah, matlamat Jelajah Masjid kali ini telah tercapai meski pun masih terdapat 2 masjid lagi yang akan dijelajahi dengan memberikan pendedahan yang terbaik kepada pelatih dan petugas yang mengikuti program ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan